
Pengarah JSJK, Ramli Yoosuf, berkata individu itu dikenal pasti berikutan siasatan membabitkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng.
“Ini yang sedang giat kita usahakan. Kita sangat positif dapat peroleh semula aset bernilai jutaan ringgit,” katanya pada sidang media.
Ramli bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu itu kerana boleh menjejaskan siasatan pihaknya, tetapi dia dipercayai berada di luar negara.
Ng dihantar pulang ke Malaysia awal bulan ini untuk membantu pihak berkuasa dalam siasatan 1MDB yang sedang berjalan.
Pada Mac, Ng dijatuhi hukuman 10 tahun penjara di New York kerana terlibat menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.
Mahkamah Daerah New York mendapati bekas ketua pelaburan perbankan Goldman di Malaysia itu bersalah membantu bekas bosnya, Tim Leissner, menggelapkan wang daripada dana tersebut, melakukan pengubahan wang, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.
Polis juga menyiasat peguam 1MDB, Jasmine Loo dan merampas aset bernilai hampir RM93.2 juta yang diperoleh bawah namanya.
Pada Mei, seorang lagi individu terlibat dalam siasatan 1MDB dan SRC International, Kee Kok Thiam, kembali ke Malaysia dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, dia meninggal dunia akibat strok pada bulan sama.