Ambil kira industri sawit, kos dalam tentukan kadar levi, kata PM

Ambil kira industri sawit, kos dalam tentukan kadar levi, kata PM

Anwar Ibrahim berkata buat masa ini kerajaan tidak berhasrat memansuhkan levi keuntungan luar biasa ke atas industri kelapa sawit.

Sebelum ini, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan mengembalikan kadar levi keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus dalam Belanjawan 2024 berbanding 3% ketika ini.
PETALING JAYA:
Kelangsungan industri dan kos pengeluaran buah kelapa sawit akan diambil kira dalam kajian kerajaan berhubung kaedah pengenaan levi termasuk kadar levi dan paras nilai ambang keuntungan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata buat masa ini pihaknya tidak berhasrat untuk memansuhkan levi keuntungan luar biasa ke atas industri kelapa sawit.

“Nilai ambang keuntungan luar biasa yang ditetapkan bagi tujuan pengenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit telah disemak semula beberapa kali sejak levi ini dilaksanakan.

“Nilai ambang yang asal adalah RM2,000 dan nilai ambang terkini adalah RM3,000 bagi Semenanjung dan RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai hasrat kerajaan untuk memansuhkan cukai keuntungan luar biasa ke atas industri kelapa sawit.

Anwar berkata kadar levi yang asal bagi Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 1.5% telah diselaraskan dengan kadar levi di Semenanjung yang ditetapkan pada kadar 3%.

“Walaupun kadar levi telah disamakan, nilai ambang keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak ditetapkan lebih tinggi berbanding di Semenanjung bagi mengambil kira kos pengeluaran buah kelapa sawit yang lebih tinggi di kedua-dua negeri itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan mengembalikan kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) bagi Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus dalam Belanjawan 2024 berbanding 3% ketika ini.

Persatuan itu turut memohon kerajaan untuk menyemak semula ke atas ambang harga WPL sebanyak RM500 satu tan minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,500 satu tan bagi Semenanjung Malaysia dan kepada RM4,000 satu tan bagi penanam Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.