
Richard Riot (GPS-Serian) berkata 35% atau 1/3 daripada semua kawasan Parlimen diperuntukkan kepada Sarawak dan Sabah wajar dilaksanakan menjelang PRU16, selaras laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Sarawak dan Sabah hendaklah diperuntukkan 1/3 atau 35%, bukan hanya 25% seperti sekarang. Ini bukan permintaan, tetapi ini terkandung dalam laporan IGC,” katanya di Dewan Rakyat semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2024.

Dalam perkembangan lain, beliau mendesak Kementerian Pendidikan mengembalikan pemberian projek baik pulih sekolah di seluruh Sarawak yang ditarik balik tanpa sebarang alasan.
“Baru-baru ini menyedihkan, di mana Kementerian Pendidikan menarik balik peruntukan yang telah diluluskan untuk kerja-kerja menyelenggara dan baik pulih sekolah di seluruh Sarawak. Projek telah diluluskan dan surat telah diterima oleh guru besar dan pengetua, tetapi ditarik balik, saya tak tahu apa terjadi.
“Daripada ratusan sekolah di seluruh Sarawak yang menerima surat kelulusan itu, lebih 50 sekolah terletak di kawasan Parlimen saya. Saya minta kementerian mengembalikan semula projek yang diluluskan kepada sekolah terbabit.”