
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pada sesi soal jawab meminta menteri ekonomi menyatakan mengapa indeks harga pengguna menurun berterusan sehingga ke paras paling rendah iaitu 2%.
Beliau turut bertanya kategori barangan serta perkhidmatan yang mempengaruhi angka itu.
Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pula bertanyakan kepada menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim mengenai langkah kerajaan mengurangkan air tidak terhasil untuk negeri yang peratusnya lebih tinggi daripada purata nasional (37.2%) seperti Kedah.
Selain itu, Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengutarakan soalan kepada menteri kerja raya berhubung rancangan jangka masa pendek dan panjang kerajaan bagi mengurangkan kesesakan lebuh raya seperti di Tol Bentong dan Tol Gombak.
Khairil Nizam turut bertanyakan sama ada kerajaan bersetuju lampu solar dipasang di lebuh raya yang tidak mempunyai lampu jalan.
Turut dijadualkan, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta menteri pertanian dan keterjaminan makanan menjelaskan mengenai pelan tindakan meningkatkan sumber protein berasaskan hidupan laut yang menjadi keperluan rakyat, selain strategi mapan bagi meningkatkan hasil pendapatan nelayan darat.
Usai sesi itu, sidang akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 itu akan dibahas pada peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt ini.
Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang RUU berkenaan pada peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini.