
“Mereka dihalau,” kata ibu beranak lima itu kepada FMT sambil menahan sebak dan kekecewaan.
“Saya pernah tidak makan sehingga beberapa hari. Saya beri anak-anak makan walaupun saya sendiri tidak makan kerana mereka lebih penting.”

Jika nasib mereka baik, Muggnisuari dan anak-anaknya, yang berusia empat hingga sembilan tahun, dapatlah merasa nasi kosong untuk menghilangkan lapar.
Namun seringkali mereka tidak dapat makan nasi.
“Pada hari sebegitu, kami cuma minum kopi dan tidur.”

Suaminya kini dipenjara kerana kesalahan curi, menyebabkan Muggnisuari terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak mereka sendirian, dan bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji kurang RM200 sebulan.
Ada kalanya jika mampu beliau membeli sebungkus nasi lemak untuk dikongsikan bersama anak-anaknya.
Mereka bernasib baik apabila ada individu prihatin yang hanya mahu dikenali sebagai Neesha, sanggup menghulurkan bantuan sekali-sekala apabila membelikan makanan dan barangan keperluan asas lain untuk mereka.
Kediaman mereka di Shah Alam yang menjadi tempat Muggnisuari dan anak-anak berteduh sejak 10 tahun lalu, nyata uzur dengan bumbung yang bocor dan sering roboh.

Ketika banjir juga anak-anaknya terpaksa memanjat perabot untuk mengelak air yang naik, malah Muggnisuari mendakwa tiga daripada anaknya itu pernah terkena renjatan elektrik ketika rumah itu dilanda banjir.
Muggnisuari terdesak mahu memberikan masa depan lebih baik untuk anak-anaknya.
“Mereka tidak pernah merasai satu hari yang baik sekalipun.”
FMT kini bekerjasama dengan Suriana Welfare Society (Reg No PPM-010-10-04122010) yang akan menguruskan bantuan untuk keluarga itu.
Sumbangan boleh dibuat secara terus kepada Suriana Welfare Society, nombor akaun Maybank 512 361 505370. Sila sertakan rujukan ‘Muggnisuari’.
Mereka yang ingin mendermakan barangan keperluan boleh menghubungi 1300-88-2200 untuk maklumat lanjut.