Kesalahan seksual kanak-kanak mesti dilapor, kata Azalina

Kesalahan seksual kanak-kanak mesti dilapor, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi memberi peringatan gagal melaporkan insiden disyaki berlaku adalah kesalahan jenayah.

Azalina Othman Said berkata jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan sahaja melibatkan mangsa atau kanak-kanak lain, tetapi masyarakat keseluruhannya. (Gambar Fail)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said akan mengadakan pertemuan dengan pesuruhjaya kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran kesalahan seksual terhadap golongan terbabit.

“Kami bimbang ramai yang tahu mengenai berlaku penderaan seksual kanak-kanak sama ada di rumah, sekolah dan kejiranan tetapi gagal melaporkan kes itu.

“Seksyen 19 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 menyebut jika anda sedar insiden itu berlaku dan tidak melaporkannya, ia menjadi kesalahan,” katanya pada sidang media.

“Kami mahu memberi mesej kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak hanya melibatkan mangsa atau kanak-kanak lain, malah masyarakat keseluruhannya.”

Beliau berkata, tanggungjawab itu merangkumi semua bukan terhad kepada ahli keluarga sahaja.

Dalam perkembangan lain, Azalina menggesa Jabatan Bantuan Guaman (JGB) mempertimbang melantik pengantara daripada kalangan bekas hakim dan bekas pegawai JBG untuk membantu mahkamah dalam mempromosikan penyelesaian di luar mahkamah.

Beliau juga mencadangkan JBG membawa masuk lebih ramai peguam swasta dalam panelnya bagi memperkasa litigasi sivil dan syariah.

“Menambah lantikan panel peguam tempatan akan membantu menangani kes litigasi yang mana jarak juga menjadi faktor,” katanya.

Pada April, Azalina berkata kerajaan sedang menyemak semula bantuan guaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.