Jurulatih kecewa, pemain culas dan pegawai menyibuk dalam skuad Harimau Malaya 1991

Jurulatih kecewa, pemain culas dan pegawai menyibuk dalam skuad Harimau Malaya 1991

Bekas jurulatih kebangsaan Rahim Abdullah masih terguris hati kerana pemain Sukan SEA Manila khianati negara, dan pegawai campur tangan dalam urusan pasukan.

Rahim Abdullah (kiri, dan kanan yang bermisai) gembira apabila bercerita tentang hari-hari sebagai pemain, tetapi bertukar sedih apabila bercerita tentang zamannya sebagai jurulatih kebangsaan.
PETALING JAYA:
Dalam acara bola sepak Sukan SEA Manila 1991, juara bertahan Malaysia ditewaskan buat julung-julung kali oleh lawan selemah Filipina, yang dilatih sebahagiannya oleh seorang jurulatih Malaysia.

Media Malaysia mentakrifkannya sebagai satu bencana negara manakala di Filipina, ia dibandingkan dengan Brazil tewas kepada Kepulauan Falklands.

Bagi ketua jurulatih Malaysia, Rahim Abdullah, jaringan tunggal tuan rumah pada minit ke-84 itu terlalu mudah dalam satu persembahan di luar kelaziman pasukannya.

Rahim mengesyaki beberapa pemainnya telah mengatur keputusan perlawanan itu tetapi dia tidak mempunyai bukti. Sekembalinya ke tanah air, banyak yang mahu didedahkannya tetapi tiada siapa yang mendengar.

Dia terpaksa bersendirian berdepan dengan kepimpinan FA Malaysia (FAM) yang berpandangan sebaliknya dan akhirnya kalah.

Sehingga hari ini dia menanggung aib sebagai jurulatih pasukan Malaysia yang pertama tewas kepada Filipina, pasukan belasahan di rantau ini ketika itu.

Ironinya, penolong Rahim, Bakri Ibni, telah membantu Filipina hanya lima bulan sebelum kekalahan mengaibkan itu di peringkat kumpulan.

Mereka menjadi tetamu di kem pembangunan FAM selepas dibelasah Malaysia 5-0 dalam perlawanan pusingan kelayakan Sukan Olimpik Barcelona.

Dalam perlawanan latihan, pasukan Polis Diraja Malaysia yang dibimbing Rahim, turut menewaskan Filipina.

Oleh itu, bolehlah difahami bahawa beberapa pemain Filipina memeluk Bakri sejurus selepas perlawanan Sukan SEA itu.

Selepas 32 tahun, Rahim, seorang bekas penguasa polis, masih sakit hati kerana pemain-pemain terbabit telah memperdayakan dia dan peminat.

“Apa yang dilakukan oleh sesetengah daripada mereka adalah mengkhianati negara,” kata Rahim, 76, dalam temu bual menjelang acara Sports Flame pada 9 Dis, satu sambutan meraikan pemain-pemain hebat Malaysia dari tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an.

Acara itu, yang disokong oleh FMT, dianjurkan oleh empat wartawan sukan dari era itu – George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar – yang telah menulis mengenai Rahim dan ikon lain dalam pelbagai akhbar dan dalam mysportsflame.com.

Rahim yang berat hati

Rahim Abdullah.

Rahim berkata dia amat berbangga menjadi anggota pasukan bola sepak Malaysia yang pertama dan satu-satunya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik, iaitu di temasya Munich 1972.

“Pada masa yang sama, saya akan sentiasa hidup dengan aib menjadi jurulatih pasukan Malaysia yang pertama tewas kepada Filipina,” keluhnya.

Rahim berkata dia pada mulanya menolak tawaran untuk melatih skuad Sukan SEA daripad Pengarah Teknikal FA Malaysia (FAM), mendiang N Raju, kerana belum bersedia.

Tetapi dia didesak mengubah fikirannya oleh pegawai tertinggi FAM berdasarkan rekod prestasi cemerlangnya dalam liga domestik bersama pasukan polis.

Malangnya, ia adalah bencana dari hari pertama lagi, dengan pegawai tertentu campur tangan dalam persiapan pasukan.

Kedua-dua Rahim dan Bakri tidak dapat menggunakan idea mereka kerana Raju mengambil alih ses latihan, dan mengendalikan pasukan.

Katanya, apabila satu lawatan sambil belajar ke Eropah menyusul, Raju memanfaatkan kesempatan itu dan meninggalkan pasukan kepada mereka berdua.

Rahim dan Bakri berlepas ke Manila dengan skuad yang mereka tidak pun punya banyak pengaruh ke atasnya.

Jika itu tidak cukup buruk, pengurus pasukan, Allahyarham Bakar Daud, menentukan barisan pemain pada hari perlawanan, dan membuat perubahan di atas padang.

Rahim berkata Bakar juga bertegas untuk menurunkan pemain yang tidak serius dalam latihan atau tidak cergas.

Ditanya mengapa dia tidak menentang Bakar, Rahim berkata: “Saya adalah jurulatih baharu, dan dia adalah sebahagian daripada pegawai tertinggi FAM.”

Menutupi malapetaka Manila

Filipina yang sudah meningkat, menewaskan Malaysia sekali lagi pada Sukan SEA Manila 2019. (Gambar FAM)

Rahim berkata walaupun dia mengetahui beberapa pemain tidak jujur dalam perlawanan menentang Filipina, tangannya terikat untuk melakukan apa-apa.

Katanya, dia sangat percaya wujud “salah laku” yang menyebabkan kekalahan memalukan kepada tuan rumah, tetapi dihalang daripada melaporkannya secara rasmi kepada FAM.

Rahim diberitahu bahawa presiden FAM ketika itu Sultan Ahmad Shah “tidak mahu mendengarnya jika ia tidak disokong oleh bukti kukuh.”

Oleh itu, dia tidak pernah menimbulkan syak wasangka terhadap perbuatan mengatur perlawanan, dan campur tangan pegawai dalam pengendalian dan taktik pasukan, dalam laporannya kepada FAM.

Dia hanya memberitahu majlis FAM bahawa Harimau Malaya tidak mempunyai penyerang yang bagus, kerana dalam liga semi-pro kebanyakan penyerangnya adalah warga asing, yang menafikan peluang pemain tempatan.

Rahim berkata kesangsiannya terhadap beberapa pemain dalam mengatur perlawanan disahkan apabila mereka ditahan pada 1994 kerana menjual perlawanan dalam Piala Malaysia dan Liga Perdana Malaysia.

Skandal rasuah itu membawa kepada penahanan 230 pemain dan pegawai dan memusnahkan bola sepak Malaysia.

Perlawanan di antara Filipina dan Malaysia dalam Sukan SEA Manila 2019, di venue yang sama, terasa seperti ulangan malapetaka pada 1991, dengan tuan rumah menang 1-0.

Kenangan indah

Penjaga gol Malaysia Wong Kam Fook dan pemain pertahanan M Chandran mengatasI pemain Jerman Barat dalam Sukan Olimpik 1972. (Gambar Sports Flame)

Rahim, seorang budak bandar kecil dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, berganjak daripada bermain bola sepak berkaki ayam sebagai budak sekolah kepada seorang peserta Olimpik.

Pada awal 1970-an, dia memenangi Piala Malaysia bersama Selangor (empat kali), Perak (sekali), da berada dalam pasukan kebangsaan yang menewaskan Kuwait 3-1 untuk merebut trofi juara dalam Pestabola Merdeka 1973.

Pada mulanya, Rahim mewakili Pulau Pinang dalam Piala Malaysia sebagai pemain sayap kiri sebelum mendapat tempat di sayap kanan bersama Harimau Malaya.

Menurutnya, dia terkejut berada dalam kesebelasan utama dalam perlawanan pembukaan Sukan

Olimpik 1972 menentang Jerman Barat kerana “jurulatih Jalil Che Din tidak begitu menyukai saya

kerana saya tidak memanggilnya Tuan”; kerana dia seorang pegawai penjara ketika itu.”

Tetapi dia disenangi pengurus pasukan Harun Idris dan Dettmar Cramer, penasihat dari Jerman kepada Jalil untuk Sukan Olimpik.

Rahim berkata dia menerima kad kuning, dan Jalil menggantikannya pada minit ke-70. Malaysia tewas 3-0 kepada Jerman Barat, selepas mengikat mereka seri tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Pada tahun 2004, dia tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM bersama-sama anggota pasukan Olimpik Munich yang lain.

Penyesalannya: Berundur dari pasukan kebangsaan pada usia 25 tahun kerana kecederaan serius tidak mengawal sepenuhnya skuad Sukan SEA 1991; dan tidak dapat mendedahkan kebenara mengenai campur tangan pegawai, dan pemain yang tidak jujur.

Sehingga hari ini, Rahim berasa malu dan marah apabila orang bercakap dengannya tentang kekalahan kepada Filipina itu. “Saya berasa marah kerana semuanya di luar kawalan kami.”

“Sebagai memburukkan lagi keadaan, saya tidak pernah menerima surat terima kasih daripada FAM atas khidmat saya sebagai jurulatih kebangsaan,” kata Rahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.