
Azrul Faiz Mohd Rosli, 31, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Dia didakwa memiliki sebilah pisau di dalam beg pinggang berwarna hitam di pintu masuk B Stadium Indera Mulia di sini pada kira-kira 8.45 malam.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin menawarkan jaminan RM6,000 manakala peguam M. Kathan memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,800.
Selain itu, menurut Kathan, anak guamnya perlu menanggung isteri yang hamil dan tiga anak serta kedua ibu bapanya.
Siti Nora kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh sebelum ini ditahan pada perlawanan antara JDT dan Perak FC yang berkesudahan 4-1 dengan kawalan ketat polis.