Suami isteri ditahan, polis rampas syabu RM297,000

Suami isteri ditahan, polis rampas syabu RM297,000

Pasangan bekerja sebagai pembantu kedai makan itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Changlun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Taufik Maidin (kiri) menunjukkan dadah dirampas daripada pasangan terbabit. (Gambar Facebook Polis Kedah)
JITRA:
Polis menahan suami isteri dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih 8.5kg dianggarkan bernilai RM297,500 di Changlun, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Taufik Maidin, berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun di hadapan rumah itu kira-kira 11.15 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam beg galas lelaki itu menemukan lapan bungkusan plastik lut sinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan wanita berusia 20 tahun iaitu isteri kepada lelaki berkenaan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai sekitar kawasan perumahan itu.

“Pasangan berkenaan bekerja sebagai pembantu kedai makan dan polis turut menyita sebuah kereta serta sejumlah barang kemas bernilai RM152,214 daripada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif Methamphetamine dan direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.