Pindahan tunai lebih baik, kata ahli ekonomi

Pindahan tunai lebih baik, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi sokong pemberian tunai kerana mengurangkan kos kerajaan namun ada pula cadang diberikan baucar kerana lebih bersasar.

Ahli ekonomi berpandangan menyalurkan tunai kepada golongan memerlukan lebih murah berbanding menanggung subsidi barangan.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi bercanggah pandangan sama ada kerajaan patut melakukan pindahan tunai atau mensasarkan subsidi untuk membantu golongan memerlukan.

Geoffrey Williams, profesor dari Malaysia University of Science and Technology, menyokong kerajaan membuat pindahan tunai berbanding menyediakan subsidi barangan.

Kerajaan berkata subsidi bersasar akan dilaksanakan demi memastikan hanya mereka yang layak sahaja menerima manfaat.

Bagaimanapun, Williams berkata, “pindahan tunai dalam bentuk cukai pendapatan negatif atau cukai pendapatan berbalik akan memberi pendapatan langsung kepada rakyat yang meraih nilai ambang minimum untuk mereka berbelanja mengikut pilihan.

“Contohnya, jika nilai ambang ditetapkan RM2,500 sebulan, individu meraih pendapatan minimum RM1,200 akan menerima kredit cukai RM1,300. Ini menyokong pendapatan mereka dan tidak perlu majikan membayar gaji minimum lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

“Ia juga mengurangkan tanggungan kerajaan kerana ia disasarkan kepada kumpulan kecil individu berdasarkan pendekatan objektif pendapatan mengikut keperluan,” katanya sambil menambah program subsidi semasa cenderung kepada pembaziran, ketirisan, dan penyelewengan.

“Seperti mana kita dapat lihat dalam pasaran diesel, produk subsidi dijual kembali di pasaran gelap yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian berbilion,” katanya.

Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hampir RM10 bilion nilai diesel didapati diseleweng.

Williams berkata, Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang mengumpulkan isi rumah Malaysia akan menyediakan bantuan bersasar kepada rakyat berdasarkan pendapatan, berbanding subsidi terhadap barangan terpilih.

Sistem berkenaan dijangka tersedia pada Januari dengan projek pilot melibatkan isi rumah terpilih akan dilaksanakan pada bulan depan.

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran, berkata beliau menyokong subsidi bersasar diberikan menerusi baucar, yang mana membolehkan kepada kemunculan pasaran baucar, sekali gus menjadikan agihan subsidi lebih bersasar.

“Jika saya menerima baucar petrol kerana pendapatan diraih rendah, saya boleh menjual baucar saya kepada individu yang lebih memerlukan kerana saya bekerja dari rumah,” katanya.

Ahli ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Lai Wei Sieng, berkata subsidi bersasar mampu membantu golongan miskin mendapatkan barangan keperluan, namun ambil maklum pindahan tunai juga menjadi pendekatan berdaya maju “jika mekanisme diguna dapat memastikan dana disalur tidak dibelanja untuk perkara lain”.

Baru-baru ini, bekas menteri kewangan II, Johari Ghani, berkata pindahan tunai merupakan mekanisme terbaik dalam menyalurkan bantuan kepada kumpulan memerlukan berbanding subsidi.

Johari berkata, sistem subsidi sedia ada bersifat regresif kerana memberi manfaat kepada kumpulan berpendapatan tinggi dan terdedah kepada pembaziran akibat penyelewengan dan penyeludupan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.