PAS nafi pembangkang minta peruntukan bayar ‘TikToker’

PAS nafi pembangkang minta peruntukan bayar ‘TikToker’

Ketua Pemuda PAS menyangkal tuduhan seorang menteri bahawa wakil rakyat pembangkang menggunakan peruntukan membayar pencipta kandungan di Tiktok.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata pencipta kandungan TikTok yang menyokong perjuangan PN tidak dibayar dan mencipta kandungan secara sukarela.
SHAH ALAM:
PAS menepis tuduhan seorang menteri konon peruntukan diminta wakil rakyat pembangkang untuk membayar pencipta kandungan di TikTok.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pencipta kandungan TikTok yang menyokong perjuangan Perikatan Nasional (PN) tidak dibayar dan mereka mencipta kandungan secara sukarela.

“Kita nak beritahu, ‘TikTokers’ kita bekerja tanpa bayaran dan atas sebab itulah kita capai kemenangan pada hari ini,” katanya pada ucapan penggulungan sempena Muktamar PAS ke-69.

Katanya, PAS diajar berjuang tanpa mengharapkan balasan, membezakannya dengan parti lain.

“Kalau kamu rasa kamu berjuang menggunakan duit, itu hak kamu. Perjuangan kita ikhlas untuk menegakkan kalimah Allah, itu yang mulia, yang suci, itu yang harus faham,” katanya.

Sebelum ini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan tidak mahu peruntukan wakil pembangkang digunakan untuk membayar pencipta kandungan di TikTok

Katanya, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan disalurkan dalam bentuk projek serta bantuan terus kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Afnan berkata, sayap Pemuda PAS juga akan melantik golongan wanita dalam barisan kepimpinannya bagi menghargai sokongan golongan terbabit pada pilihan raya lalu.

“Kita juga bersedia melantik sebilangan wanita dalam AJK Pemuda; Perlembagaan PAS tak sebut AJK Pemuda mesti lelaki,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.