Polis cekup 392 individu, rampas barang seludup lebih RM200 juta

Polis cekup 392 individu, rampas barang seludup lebih RM200 juta

Tangkapan itu bagi tempoh Januari hingga semalam libat rampasan antaranya diesel, gula, dan minyak masak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Hazani Ghazali, berkata polis merampas diesel yang cuba diseleweng bernilai RM1.4 juta dalam empat serbuan.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 392 individu termasuk 64 warga asing ditahan bagi tempoh Januari hingga semalam kerana terlibat kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Hazani Ghazali, berkata semua mereka berusia 18 hingga 60 tahun itu ditahan dalam 165 serbuan di seluruh negara oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

“Untuk tempoh yang sama juga WCB/PSK telah merampas pelbagai barangan dianggarkan berjumlah RM215,565,308.87,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Hazani berkata WCB/PSK telah menumpaskan penyeludupan diesel dan ayam sejuk beku dalam 12 siri serbuan di seluruh negara antara 10 hingga 20 Okt lalu.

Beliau berkata, dalam empat serbuan Op Tiris, pihaknya menahan 12 lelaki termasuk seorang warga Myanmar berumur 20 hingga 48 tahun dan merampas diesel yang cuba diselewengkan bernilai RM1,468,321.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Hazani berkata, dalam lapan serbuan OP Taring, WCB/PSK telah menahan seorang lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 26 hingga 36 tahun serta merampas 54,515 kotak mengandungi 144kg gula pasir, 880kg minyak masak dan ayam sejuk beku bernilai RM14,121,465.36.

“Ketiga-tiga yang ditahan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Haiwan 2015,” katanya.

Menurutnya, polis sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Selain itu katanya, operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat digalakkan agar kegiatan jenayah berkenaan dapat dibanteras sepenuhnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.