Plot guling Chow mula sejak sekian lama, kata sumber DAP

Plot guling Chow mula sejak sekian lama, kata sumber DAP

Sumber berkata hasrat menyingkirkan ketua menteri telah bermula sebelum PRN pada Ogos.

Sumber berkata ada pemimpin mendesak Chow Kon Yeow disingkir sebagai ketua menteri Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Rancangan mahu menggulingkan Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri Pulau Pinang telah berjalan sejak sekian lama, dedah dua sumber DAP.

Seorang pemimpin DAP yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu FMT, “kegemparan” baru-baru ini melibatkan penjualan tanah industri Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) kepada syarikat swasta hanya alasan untuk terus mendesak Chow disingkirkan.

Sumber berkenaan merujuk penjualan sebidang tanah kepada Umech Land Sdn Bhd, yang mana seterusnya diperoleh sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka.

Penjualan tanah itu mengundang kritikan susulan dakwaa ia dijual di bawah harga pasaran.

Walaupun penjualan tanah tersebut dibatalkan kerajaan Pulau Pinang, sumber berkata isu berkenaan dibangkit demi “memalukan” Chow.

“Pemimpin DAP Pulau Pinang, terutama yang bersekutu dengan Chow, sedia mengetahui (rancangan menyingkirkan Chow) sudah berjalan sejak sekian lama,” kata sumber itu.

“Ia pertembungan sukar bagi Chow kerana bukan semua di Dewan Undangan Negeri akan menyokongnya 100%. Kedudukannya mula lemah selepas PRN lalu.”

Pada minggu lalu, Chow berkata ada cubaan menggantikannya sebagai ketua menteri sebelum PRN pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, pengerusi DAP Pulau Pinang itu menarik balik dakwaannya pada Khamis, sambil menyatakan beliau sekadar bercakap apa yang berlaku sebelum PRN.

Sumber berkata, ada pemimpin tinggi DAP di peringkat pusat sedar isu berkenaan, namun enggan campur tangan.

“Mereka tidak mahu dilihat menyebelahi mana-mana pihak.”

Dalam pada itu, sumber lain DAP Pulau Pinang berkata, ada beberapa pemimpin mendesak penyingkiran Chow.

Sumber enggan dinamakan berkata, cubaan menyingkirkan Chow bermula sebelum PRN lagi.

“Berlaku pergeseran (antara Chow dan pemimpin lain) berhubung pemilihan calon,” katanya kepada FMT.

“Apa yang pasti mereka tidak lagi sebulu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.