Lebih 15 akaun milik pengasas syarikat penerbangan dalam proses dibeku

Lebih 15 akaun milik pengasas syarikat penerbangan dalam proses dibeku

Polis berkata reman terhadap pengasas itu juga dilanjut sehingga esok dengan isteri dan anak lelakinya dibebaskan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Ramli Yoosuf, berkata siasatan juga meliputi punca dan perjalanan wang sehingga kepada penubuhan syarikat penerbangan.
PETALING JAYA:
Polis dalam proses membekukan lebih 15 akaun berkait pengasas bersama dan pemegang saham syarikat penerbangan tambang murah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Ramli Yoosuf.

Katanya, reman terhadap individu itu dilanjutkan dua hari sehingga esok, manakala isteri dan anak lelakinya dibebaskan.

“Siasatan diteruskan dan JSJK mengenal pasti beberapa lagi individu yang boleh memberi keterangan dalam membantu siasatan kes.

“Lebih baik jika mereka tampil untuk memberi kerjasama untuk mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, media melaporkan, pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua bersama dua ahli keluarganya direman selama empat hari bermula Rabu.

Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, Ramli dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat punca kewangan milik pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditahan itu.

Belaiu berkata, siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.

“Siasatan kita tidak terhad. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh meliputi punca dan perjalanan wang daripada awal sehinggalah penubuhan syarikat penerbangan terbabit.

“Suspek dalam kes ini pernah terkait dengan kes I-Serve (I-Serve Online Mall Sdn Bhd) sebelum ini, dan kemudian menubuhkan syarikat penerbangan, kita percaya ia saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.