‘Tak munasabah’, Hadi tepis desas-desus Dr M calon PRK Kemaman

‘Tak munasabah’, Hadi tepis desas-desus Dr M calon PRK Kemaman

Presiden PAS Hadi Awang menyifatkan desas-desus Dr Mahathir Mohamad calon bagi PRK Kemaman seabagai 'tidak munasabah'.

Presiden PAS Hadi Awang diapit bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di muktamar PAS tahun ini.
SHAH ALAM:
Presiden PAS Hadi Awang menepis desas-desus bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional bagi PRK Parlimen Kemaman.

“Tidak munasabah. Kalau nak timbulkan biar munasabah,” katanya pada sidang media di tepian muktamar PAS ke-69.

Hadi memaklumkan Perikatan Nasional belum memuktamadkan calonnya dan Mahathir tiada dalam senarai itu.

Pengundi Kemaman akan memilih wakil rakyat mereka pada 2 Disember. Pihak yang bertanding akan menamakan calon masing-masing pada 18 November.

Pemilihan baharu diadakan kerana Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah,  selepas menerima dakwaan berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi bagi calon Perikatan Nasional, Che Alias Hamid.

Pada PRU lalu, PN menang bergaya dengan majoriti 27,179 undi, selepas calonnya meraih 65,714 undi untuk menewaskan Barisan Nasional yang meraih 38,535 undi, Pakatan Harapan (8,340), dan Pejuang (506).

Sementara itu, ditanya sama ada ahli PAS sudah memaafkan Mahathir susulan kemunculan bekas perdana menteri itu pada muktamar kali ini, Hadi menjawab manusia dan politik boleh berubah.

“Kita diajar dalam Islam jangan berkasih kepada orang melampau, jangan benci pada orang melampau. Muka kita benci itu satu hari dia akan tolong kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.