
Setiausaha Politik Presiden PAS Mohd Syahir Sulaiman berkata walaupun tidak hadir namun pandangan Ahli Parlimen Marang berkenaan telah disampaikan secara bersurat.
Menurut penolong setiausaha agung PAS itu, parti berkenaan belum menerima sebarang makluman berkaitan hasil mesyuarat malam tadi.
“Jadi kita tunggu panggilan mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk muktamadkan hal-hal berbangkit.
“Di pihak PAS, kita mahu segalanya teratur serta diurus mengikut perlembagaan dan peraturan yang sah.
“Penegasan tuan guru (Hadi) dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man mahu PN diperkukuhkan,” katanya kepada FMT.
PAS menawarkan diri mengetuai PN selepas Muhyiddin meletak jawatan pengerusi berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Isu itu yang berlarutan sejak sebulan lalu dilihat sukar diselesaikan dalam masa terdekat susulan perkembangan terkini dalam gabungan itu termasuk percanggahan pendapat.
Pertemuan itu dipanggil Muhyiddin tidak lama selepas mesyuarat majlis tertinggi PN yang dijadualkan pada malam sama dibatalkan.
Mesyuarat yang dibatalkan itu untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan.
Sebelum pertemuan empat presiden dalam PN itu, PAS menafikan dakwaan Muhyiddin dalam satu surat yang parti itu dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi.
Menurut Muhyiddin, langkah itu sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu yang menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS mengetuai jawatankuasa eksekutif.