
Presidennya, Hadi Awang, sebaliknya berkata tiada isu lain dibincangkan dalam pemukiman itu, selain agenda memperkukuhkan PAS dan perpaduan dalam PN.
Penjelasan Ahli Parlimen Marang itu sekali gus menolak spekulasi PAS akan meninggalkan PN.
“Tak betul, tak betul. (Kita) nak meneruskan PN, perpaduan,” katanya selepas menghadiri pemukiman tertutup PAS di sini.
Semalam, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad dilaporkan berkata, serangan secara konsisten dari dalam dan luar parti serta parti komponen PN terhadap presiden Bersatu itu bertujuan memaksa beliau berundur.
Katanya, ramai sedang menunggu untuk bertepuk tangan menyaksikan projek “Muhyiddin exit” berjaya.
Khamis lalu, Berita Harian memetik sumber melaporkan ketidakhadiran Hadi dalam pertemuan di kediaman Muhyiddin ialah bayangan parti itu akan meninggalkan gabungan berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menegaskan gabungan empat parti komponen dalam PN akan kekal bersatu.
“Kita sudah berkoalisi, mana mungkin kita ketepikan sesiapa. Empat parti dalam PN masih utuh.”
Tegasnya, PN kekal memerintah di empat negeri, termasuk Perlis dan tidak berdepan sebarang masalah dalaman setakat ini.
“Di peringkat negeri pun kita masih PN. Tak ada masalah.”
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, PAS melalui Biro Pemerkasaan Parti merangka pelbagai program bermula awal tahun ini sebagai persiapan berterusan menghadapi landskap politik semasa, termasuk PRN Melaka dan Johor akan datang.