
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata suspek berusia 42 dan 50 tahun itu dipercayai menerima upah sebanyak RM50,000 untuk menyorokkan dadah ke dalam besi diubah suai menyerupai kaki meja.
“Polis menemui 200 bungkusan syabu seberat 208 kilogram (kg) yang disorok di dalam batang besi.
“Serbuan turut merampas wang tunai 10,600 Baht (RM1,383) dan RM10,700, barang kemas bernilai RM17,000 selain kereta Toyota Vios serta peralatan mengubah suai besi,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Harian Metro.
Allaudeen berkata pemeriksaan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif.
“Kita tidak menolak bekalan dadah ini untuk edaran di Lembah Klang dan kemungkinan untuk ditransit,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti dalang yang membekalkan dadah terbabit, manakala dua suspek itu direman tujuh hari sehingga 26 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah di ibu kota diambil tindakan sewajarnya,” katanya.