
“Dalam keadaan ekonomi tak tentu ini, kerajaan boleh pula umum beli EV, sedangkan rakyat hanya dapat Bantuan Tunai Rakyat (BTR), walhal Vellfire sedia ada baru berusia setahun lebih,” kata Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dalam perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan Putrajaya akan menggunakan EV sebagai kenderaan rasmi dalam usaha melonjakkan pembangunan industri EV tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.
Katanya, kerajaan mengalu-alukan pelaburan RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.
Sementara itu, Latiff turut membidas ringgit susut kepada 4.77 berbanding dolar Amerika petang tadi, yang disifatkannya prestasi terburuk di Asia.
“Tentu rakyat Malaysia tak lupa ungkapan Tambun (Anwar Ibrahim) bila ringgit jatuh pada zaman pemerintahan lalu. ‘Sebab apa ringgit jatuh? Sebab hang tak pandai perintah negeri ini’.
“Seakan ungkapan Tambun itu terpercik di muka sendiri,” katanya.