250 syarikat dikenakan penalti kewangan kerana terlibat dalam kegiatan kartel

250 syarikat dikenakan penalti kewangan kerana terlibat dalam kegiatan kartel

Penalti kewangan yang dikenakan oleh MyCC itu berjumlah lebih RM150 juta, kata Armizan Ali.

MyCC juga kini sedang menyiasat lebih 430 syarikat yang disyaki terlibat dalam kegiatan kartel, kata Armizan Ali.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengenakan penalti kewangan terhadap 250 syarikat kerana terlibat dalam kegiatan kartel.

“MyCC telah mengambil banyak tindakan terhadap kes kartel dalam perniagaan,” kata Armizan Ali, pemangku menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

“Setakat ini, sebanyak 250 syarikat telah dikenakan penalti kewangan lebih dari RM150 juta oleh MyCC kerana telah didapati terlibat dalam aktiviti kartel.”

Armizan berkata, MyCC kini sedang menyiasat lebih 430 syarikat yang disyaki terlibat dalam kegiatan kartel.

Syarikat-syarikat berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan kartel bukan sahaja merangkumi keperluan asas rakyat, malah barangan dan perkhidmatan, yang mempengaruhi kos sara hidup, tambahnya.

Sementara itu, Armizan berkata, MyCC akan meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713) untuk memerangi kegiatan kartel dalam jangka panjang.

Beliau berkata, pindaan itu akan mengukuhkan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

Selain itu, pengenalan rejim kawalan penggabungan akan memberikan kuasa kepada MyCC untuk mengambil tindakan intervensi awal (ex-ante) terhadap pembentukan kartel atau monopoli baharu melalui pengawalan kegiatan penggabungan, kata Armizan.

Beliau berkata, dengan pindaan itu, mana-mana syarikat yang didapati bersalah terlibat dengan kartel boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10% daripada pusing ganti dunia syarikat mereka.

Jika ia melibatkan perolehan kerajaan, mereka juga boleh disenarai hitam daripada menyertai tender kerajaan pada masa akan datang.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta MyCC diarah mengumpul lebih banyak maklumat dan bukti bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai kartel beras yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.