Saya tiada kaitan langsung dengan MYAirline, kata Muhyiddin

Saya tiada kaitan langsung dengan MYAirline, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu menafikan mempunyai sebarang kaitan langsung dengan syarikat penerbangan itu atau pemegang sahamnya.

Muhyiddin Yassin mendakwa ‘individu tertentu’ cuba mencemarkan nama baiknya dengan membuat tuduhan tidak berasas berhubung pembabitannya dalam MYAirline.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin menafikan sebarang pembabitan dengan syarikat penerbangan bermasalah MYAirline Sdn Bhd, yang menggantung operasinya secara mengejut Khamis lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tiada sebarang kaitan langsung dengan syarikat penerbangan itu atau pemegang sahamnya.

“Saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat ini.

“Carian saya (sendiri) menunjukkan syarikat ini mendapat kelulusan bersyarat untuk lesen perkhidmatan udara pada 22 Dis 2021, iaitu semasa saya tidak lagi menjadi perdana menteri,” katanya dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, pembabitan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pemegang saham MYAirline tiada kaitan dengannya.

“RDS, sebagai sebuah firma guaman, berhak mewakili sesiapa saja yang memerlukan khidmat guamannya.”

Rosli Dahlan, rakan kongsi firma itu, pernah menjadi peguam utama 1MDB dan kini mewakili Muhyiddin dalam saman fitnahnya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Muhyiddin berkata, ada “individu tertentu” cuba mencemarkan nama baiknya dengan membuat tuduhan tidak berasas berhubung pembabitannya dengan syarikat penerbangan itu.

“Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Khamis lalu, MYAirline menggantung operasinya serta-merta akibat “tekanan kewangan ketara” selepas syarikat penerbangan tambang murah itu “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.

Selepas berita penggantungan itu tersebar, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengkritik MYAirline atas tindakan mengejut itu yang menjejaskan 125,000 penumpang membabitkan kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac 2024.

Katanya, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terkejut dengan tindakan “tidak bertanggungjawab” serta “tidak wajar” syarikat penerbangan itu.

Semalam, MYAirline mengakui penggantungan operasinya secara tiba-tiba disebabkan kurang pelan kontingensi dan penarikan pelabur di saat akhir.

Hari ini, polis mengesahkan pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline, Goh Hwan Hua ditahan malam tadi bersama dua ahli keluarganya bagi membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.