Judi dalam talian kesalahan bawah akta sedia ada, kata mahkamah

Judi dalam talian kesalahan bawah akta sedia ada, kata mahkamah

Mahkamah Rayuan memutuskan aktiviti itu adalah kesalahan bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mahkamah Rayuan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap seorang pesara polis dan bekas pengurus sebuah tempat perjudian atas kesalahan berasingan berkaitan perjudian di Melaka.
PUTRAJAYA:
Judi dalam talian adalah kesalahan di Semenanjung Malaysia bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap seorang pesara polis dan bekas pengurus sebuah tempat perjudian atas kesalahan berasingan berkaitan perjudian di Melaka.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Wazeer Alam Mydin Meera itu mendengar rayuan akhir Rashid Mahmud dan Roseaini Johor.

Rayuan kedua-dua mereka adalah berdasarkan persoalan undang-undang sama ada premis yang digunakan untuk perjudian dalam talian tanpa memiliki mesin perjudian fizikal merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang hanya terpakai di Semenanjung Malaysia.

Selepas mendengar hujahan oleh kedua-dua pihak dan meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi, Vazeer berkata tidak ada keperluan di bawah undang-undang untuk mempunyai instrumen fizikal di premis bagi melakukan kesalahan di bawah Jadual Pertama Akta.

Beliau berkata adalah memadai bagi pihak pendakwaan membuktikan bahawa perjudian telah dijalankan menggunakan komputer untuk kesalahan yang akan dilakukan.

“Oleh itu, kami menjawab soalan secara negatif dan menolak rayuan,” kata Vazeer, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy.

Rashid, 62, tidak perlu menjalani sebarang hukuman kerana Mahkamah Tinggi menaikkan dendanya kepada RM5,000 dan membatalkan hukuman penjara tahun lepas berikutan rayuan. Dia telah membayar denda itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengeluarkan waran komital terhadap Roseaini, 39, untuk menjalani hukuman penjara empat bulan dan tiga minggu.

Di hadapan majistret di Melaka pada 2020, Rashid didenda RM3,000 dan diperintahkan menjalani hukuman penjara sebulan manakala Roseaini, yang berasal dari Sabah, didenda RM10,000 dan diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan.

Susulan rayuan, Mahkamah Tinggi telah mengurangkan denda Roseaini kepada RM5,000 tetapi mengekalkan hukuman penjara. Dia telah menjalani hukuman penjara lima hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan hari ini.

Memandangkan ia dari Mahkamah Majistret, kedua-duanya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan dengan merangka persoalan undang-undang.

Rashid didakwa bermain permainan rolet di kasino dalam talian menggunakan komputer riba di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz di Melaka bersama sembilan yang lain yang masih bebas pada 11 Dis 2017.

Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 menyatakan bahawa kesalahan dilakukan jika lapan orang atau lebih ditangkap berjudi di sesuatu tempat. Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM5,000, dihukum penjara enam bulan, atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 6(1).

Sementara itu, Roseaini didakwa menguruskan lokasi di mana kesalahan itu dilakukan, dan mempunyai 26 komputer riba di bawah kawalannya. Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata Rashid hanya melanggar undang-undang jika terdapat roda rolet, bola rolet dan papan pertaruhan rolet di lokasi seperti yang dikehendaki di bawah Jadual Kedua Akta.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah berhujah bahawa definisi mesin permainan bermaksud sebarang mesin atau peranti mekanikal, elektrik atau elektronik, termasuk sebarang program komputer yang digunakan dalam mesin atau peranti tersebut.

Beliau menambah komputer riba yang digunakan untuk perjudian dalam talian oleh itu dianggap sebagai mesin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.