Dr M, Nor Mohamed nafi ambil alih saham UEM, Renong secara paksa

Dr M, Nor Mohamed nafi ambil alih saham UEM, Renong secara paksa

Menerusi pernyataan pembelaan mereka terhadap saman Halim Saad, bekas pengerusi eksekutif Renong Berhad itu sendiri mempersetujuinya dengan pampasan RM165 juta.

Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan dinamakan sebagai defendan dalam saman difailkan bekas pengerusi eksekutif Renong Berhad Halim Saad. (tengah)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menafikan telah mengambil alih pemegangan saham United Engineers Malaysia Bhd (UEM) dan Renong Berhad milik bekas pengerusi eksekutif Renong Berhad Halim Saad secara paksa, 23 tahun lalu.

Menerusi pernyataan pembelaan, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan selaku defendan menyatakan bahawa pengambilalihan itu dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

“Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003.

“Lanjutan daripada surat tersebut, plaintif telah dibayar dengan pampasan berjumlah RM165 juta oleh Khazanah yang dibuat dalam dua bahagian iaitu bayaran pertama sebanyak RM45 juta pada 22 Mei 2003 dan bayaran kedua sebanyak RM120 juta pada 26 Mei 2003,” kata tiga defendan itu bagi menjawab saman yang difailkan Halim yang juga bekas pengarah Renong Berhad pada 2 Ogos lalu.

Menurut tiga defendan, keseluruhan kumpulan syarikat-syarikat Renong-UEM adalah sebahagian besar daripada Indeks Komposit Kuala Lumpur dan apabila prestasi saham Renong serta UEM lemah dan harga saham tidak pulih, keadaan tersebut telah memberi impak buruk dan membebankan pasaran saham secara keseluruhannya.

“Di bawah kelolaan plaintif, permodalan pasaran Kumpulan Renong telah merudum sebanyak 41% daripada RM7.2 bilion pada 1997 kepada RM4.2 bilion pada 2000.

“Semasa kemuncak krisis kewangan Asia 1997/1998, Renong mempunyai hutang berjumlah RM26 bilion, yang merangkumi 7% daripada keseluruhan sistem perbankan di Malaysia pada ketika itu dan bagi memulihkan keadaan, Mahathir bersetuju dengan cadangan Nor Mohamed bahawa cara terbaik adalah untuk menstruktur semula kedua-dua Renong dan UEM.

“Cadangan ini dapat dilaksanakan dengan menjadikan UEM “private” (dijadikan persendirian) dengan suatu tawaran am kepada semua pemegang saham UEM. Nor Mohamed diberi mandat oleh Mahathir untuk melaksanakan penstrukturan semula tersebut,” kata defendan-defendan itu.

Menurut defendan, memandangkan plaintif memegang saham kawalan Renong dan memiliki pula 37.92% daripada pemegangan saham UEM, sokongan daripada plaintif diperlukan untuk menjayakan pengambilalihan itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim berkata beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau diarahkan Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah.

“Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu. Ini mewajibkan saya untuk menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan, dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian,” dakwanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Halim mendakwa Khazanah telah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6% saham Renong.

Oleh itu, Halim, antaranya, memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.