2 penghantar ditahan, dadah RM3.1 juta dirampas

2 penghantar ditahan, dadah RM3.1 juta dirampas

Polis berkata dadah dari negara jiran itu akan diseludup keluar untuk dipasarkan ke Indonesia.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Gombak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan dua individu dan merampas methamphetamine seberat 93.8kg dianggarkan bernilai RM3.1 juta dalam serbuan di Batu Caves, Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata berdasarkan siasatan awal terhadap seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia ditahan itu, mereka merupakan transporter atau penghantar bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

“Kami dapati dadah ini diambil dari negara jiran di utara tanah air dan akan diseludup keluar untuk dipasarkan ke Indonesia dan dikesan bergerak aktif sejak Januari lepas.

‘Selain dadah, polis turut merampas tiga kenderaan dan wang tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan rampasan RM3.22 juta,” katanya dalam sidang media di IPD Gombak.

Beliau berkata serbuan pada 9.35 malam itu hasil maklumat awam yang mencurigai tindakan lelaki tempatan 34 tahun itu bekerja sebagai mekanik kenderaan.

Katanya penangkapan lelaki itu membawa kepada penemuan sebuah Nissan Almera diletakkan di kawasan berhampiran dan menjumpai dadah dalam empat beg kanvas dan satu guni putih di tempat duduk belakang serta bonet.

Susulan penemuan itu, lelaki terbabit membawa polis ke sebuah kondominium berhampiran dan seorang lelaki warga Indonesia 42 tahun ditahan.

Hussein berkata lelaki tempatan itu mempunyai tiga kes lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Kedua-duanya direman hingga 22 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah polis sedang mengesan saki-baki anggota sindiket itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.