
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata mangsa 54 tahun itu mendakwa menyertai pelaburan berkenaan selepas dimaklumkan hanya perlu mengeluarkan modal bagi jualan barangan di aplikasi terbabit.
“Mangsa mendakwa diperkenalkan kepada pelaburan itu oleh seorang individu dikenali di Facebook dan diberikan pautan ke aplikasi yang kononnya akan merekodkan jumlah keuntungan diperoleh mangsa.
“Mangsa seterusnya mendakwa membuat 25 transaksi pemindahan wang ke 17 akaun diberikan suspek sepanjang terlibat dengan pelaburan itu dari 14 Ogos hingga 3 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa mendakwa wang dilaburkan itu hasil simpanannya semasa menceburi bidang perniagaan sebelum menjadi tukang kebun.
Yahaya berkata mangsa menyedari ditipu apabila diminta membayar RM130,000 lagi sebelum dibenarkan mengeluarkan “wang keuntungan” kononnya sebagai bayaran cukai, menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Kuantan di sini, semalam.
Orang ramai dinasihatkan membuat semakan sebelum menyertai sebarang pelaburan, khasnya yang menjanjikan pulangan lumayan dengan mudah supaya tidak menjadi mangsa pelaburan tidak wujud.