‘Harap ada keadilan’, kata waris mangsa tragedi Batang Kali

‘Harap ada keadilan’, kata waris mangsa tragedi Batang Kali

Keluarga Nurul Azwani Kamarulzaman berharap ada keadilan sebetulnya selepas laporan penuh siasatan didedahkan esok.

Siti Esah Hassan (kanan) menunjukkan gambar anaknya Nurul Azwani, yang terkorban dalam tragedi Batang Kali. Bersamanya adik mangsa, Nurhazita, dan dua anaknya.
PETALING JAYA:
Waris kepada mangsa terkorban tragedi tanah runtuh di Batang Kali, tahun lalu berharap laporan penuh siasatan yang bakal didedahkan esok dapat memberi keadilan buat mereka.

Bercakap kepada FMT, Nurhazita Kamarulzaman, iaitu adik kepada Nurul Azwani, berharap perkara sebenar dapat terungkai meskipun kenyataan oleh jawatankuasa kerajaan hari ini memaklumkan siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti manusia salah satu faktor penyumbang kejadian berkenaan.

“Pihak kami sekeluarga berharap akan mendapat keadilan yang sebetulnya selepas laporan penuh dikeluarkan nanti,” katanya.

Azwani, 31, yang merupakan pekerja kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, antara 92 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis tahun lepas.

Siasatan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh tidak temui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh di Batang Kali tahun lalu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Zahid Hamidi berkata siasatan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh itu.

Menurutnya analisis forensik mendapati kejadian hujan faktor pencetus utama, yang menyebabkan kegagalan cerun.

JKKTR yang ditubuhkan bagi menjalankan kerja penyiasatan diketuai cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya dan disertai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta badan-badan profesional.

Laporan penuh siasatan itu boleh diakses orang ramai melalui laman sesawang Nadma mulai 10 pagi esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.