Dibawa arus ketika mandi, 3 remaja ditemui lemas

Dibawa arus ketika mandi, 3 remaja ditemui lemas

Ahad lalu empat remaja lelaki dikatakan mandi di perairan Batu Nangar, Daro, tetapi tiga daripadanya dibawa arus deras manakala seorang lagi terselamat.

Mayat mangsa kedua dijumpai pada 8.22 pagi tadi, manakala mangsa terakhir ditemui pada 9.05 pagi kira-kira 4km dari lokasi insiden berlaku. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tiga remaja berusia 13 tahun ditemui lemas hari ini selepas dibawa arus deras ketika bermandi-manda di Sungai Batang Lassa, Sibu, Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa pertama berusia 13 tahun ditemui pekerja feri Muara Lassa pada 6.30 pagi tadi.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat mangsa kedua pada jarak 2km dari lokasi terakhir mereka bermandi-manda pada 8.22 pagi tadi.

“Usaha pencarian diteruskan ke kawasan hilir sungai sebelum menemui mangsa ketiga pada 9.05 pagi kira-kira 4km dari lokasi insiden berlaku,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mayat tiga remaja itu dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada polis.

Dalam kejadian Ahad lalu, empat remaja lelaki dikatakan bermandi-manda di perairan Batu Nangar, Daro, tetapi tiga daripadanya dibawa arus deras, manakala seorang lagi terselamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.