Harga ayam mungkin naik tapi tak ketara, kata penternak

Harga ayam mungkin naik tapi tak ketara, kata penternak

Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia menjangka harga ayam tidak naik terlalu tinggi memandangkan kos menurun.

Ketika ini kerajaan menetapkan harga kawalan ayam pada RM9.40 sekilogram.
PETALING JAYA:
Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) tidak menolak kemungkinan kenaikan harga ayam selepas kerajaan menamatkan kawalan harganya selain telur.

Bagaimanapun, Penasihatnya Jeffrey Ng menjangkakan perubahannya tidak terlalu ketara kerana salah satu daripada kos operasi iaitu harga dedak di pasaran kini menunjukkan trend penurunan, sekitar RM123 hingga RM130 untuk 50kg.

“Kenaikan mesti ada (selepas kawalan harga berakhir), kerana harga yang dikawal sekarang lebih rendah dari kos pengeluaran. Kalau tak naik, penternak rugi, siapa nak ternak lagi?,” katanya kepada FMT.

“Tetapi kita jangka harga ayam stabil dan seimbang kerana harga dedak pun dah turun sikit… bulan ni turun RM2 untuk satu beg 50kg, dan kita berharap ia dapat turun lagi.

“Kalau turun lagi bermakna kos pengeluaran akan jatuh lagi dan kos operasi kita akan turun lagi,” tambahnya. Harga dedak dijual sekitar RM80 tiga tahun lalu kemudian melonjak sehingga 40% pada tahun ini.

Beliau berkata harga ayam yang membekalkan protein juga tidak boleh naik terlalu tinggi kerana akan memberi kesan kepada lambakan bekalan di pasaran.

“Kita pun tak mahu harga (ayam) terlalu tinggi, nanti orang tak mampu beli (dan) bekalan akan terlalu banyak.” Ketika ini, harga kawalan ayam ditetapkan pada RM9.40/kg.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kawalan harga sementara bagi ayam dan telur akan ditarik balik bagi memastikan bekalan mencukupi.

Butiran mengenainya akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Jeffrey berkata pihaknya sudah bertemu dengan wakil KPKM semalam, bagi memuktamadkan mekanisme penetapan harga ayam selepas ia diapungkan.

“Kita dah bagi cadangan, dan tunggu kerajaan buat keputusan. Kita cuma minta kerajaan bantu penternak untuk sementara waktu saja (sehingga harga ayam stabil).

“Kita tak mahu bila harga diapung, penternak kerugian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.