Rasionalisasi subsidi diteruskan, akan tawar STR, kata PM

Rasionalisasi subsidi diteruskan, akan tawar STR, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memberi bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah kepada mereka yang memerlukan.

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan perubahan yang tertangguh selama beberapa dekad itu tahun depan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan mengubah pendiriannya berhubung rasionalisasi subsidi, walaupun ada potensi kenaikan harga.

Katanya, kerajaan sebaliknya akan menawarkan suntikan dana terus kepada mereka yang memerlukan, seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Tahun depan untuk kita melaksanakan perubahan yang tertangguh selama beberapa dekad, termasuk rasionalisasi subsidi,” katanya dalam sebuah majlis di sini.

“Walaupun kita tarik subsidi ayam, nampaknya harga lebih terkawal berbanding sebelum ini.

“Walaupun berlaku kenaikan harga, kami takkan mengubah pendirian mengenai rasionalisasi subsidi. Sebaliknya, kami akan menyediakan STR, suntikan dana terus daripada kerajaan.”

Pada 13 Jun lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau tiada masalah menerbalikkan keputusan terhadap dasar awam jika ia dapat membantu rakyat.

Ia susulan keputusan kerajaan mengekalkan subsidi untuk ayam dan telur, serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menteri kewangan itu berkata, beliau memutuskan tidak meneruskan pengapungan harga ayam dan telur di pasaran mulai 1 Julai lalu, selepas mempertimbangkan saranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Bagaimanapun, dalam Belanjawan 2024, beliau memutuskan untuk menarik balik kawalan harga ke atas ayam dan telur bagi membiarkan kuasa pasaran menentukan harga.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan yakin langkah mengapungkan harga ayam tidak akan menyebabkan kenaikan harga mendadak kerana pengeluaran ayam dalam negara masih mencukupi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.