
Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata walaupun kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bermula 1 Nov lepas, harga ayam ketika ini dilihat masih stabil seperti sebelumnya.
“Sebelum ini, harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram (kg), namun selepas pengapungan harga kebanyakan peniaga masih menjualnya pada harga lebih rendah. Di Kedah, harga ayam RM9.40/kg susah nak jumpa, kebanyakan ayam dijual pada harga RM8.90/kg… bahkan ada pasar raya yang menjual lebih murah.
“Secara keseluruhannya harga ayam dijual bawah harga siling yang ditetapkan sebelum ini (sebelum 1 Nov)…kecuali di Langkawi, ada penjual yang menjual pada harga RM9.90/kg,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi jelajah mesra dan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 di sebuah pasar raya.
Affendi berkata bekalan ayam di Kedah mencukupi dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan ayam yang dilaporkan kepada pihaknya setakat ini.
“Kita sudah semak, tidak ada isu bekalan ayam berkurangan… bekalan mencukupi dan ayam yang ditempah sampai mengikut jumlah tempahan… bekalan ayam di Kedah stabil dan mencukupi.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peruncit, penjual, penternak, dan peladang yang tidak menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya,” katanya.
Sementara itu, Affendi berkata Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 yang dilaksanakan tujuh hari bermula hari ini, bertujuan menstabilkan harga barangan semasa permintaan terhadap barangan tertentu dijangka meningkat.
“Terdapat lapan jenis barangan diletakkan di bawah skim ini termasuk bawang merah besar import, bawang mentah kecil (India) termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut dan tomato,” katanya sambil menambah tiada sebarang aduan diterima berhubung kekurangan atau kenaikan harga barangan berkenaan.
Beliau berkata sebanyak tujuh program Jualan Rahmah Khas akan dilaksanakan di negeri ini sempena sambutan Deepavali bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.