
“Hari ‘bailout’ sudah berakhir. Anda tahu apa maksud saya. Anda (syarikat) perlu selesaikan isu pelanggan (sendiri),” kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dalam sesi khas Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu jaminan kerajaan bahawa Putrajaya tidak akan menyelamatkan syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Hasbi berkata, syarikat penerbangan itu berdepan beberapa cabaran, termasuk kelewatan memuktamadkan penjualan saham kepada pelabur dan nilai ringgit semakin lemah berbanding dolar AS.
“Kebanyakan transaksi MYAirline dalam USD, termasuk pajakan pesawat dan kos bahan api, yang mengalami peningkatan daripada USD113 setong kepada USD131 setong.”
Khamis lalu, MYAirline mengumumkan ia menggantung operasinya serta-merta disebabkan “cabaran kewangan signifikan” selepas “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.
Selepas berita penggantungan itu tersebar, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengkritik MYAirline atas tindakan mengejut itu yang menjejaskan 125,000 penumpang, selain kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac 2024.
Katanya, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terkejut dengan tindakan “tidak bertanggungjawab” serta “tidak wajar” syarikat penerbangan itu.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini menggantung sijil pengendali udara (AOC) MYAirline serta-merta selama 90 hari, sementara menunggu siasatan lanjut.
MYAirline diberi 14 hari untuk mengemukakan representasi kepada pihak berkuasa itu berhubung isu terbabit.
“Setakat ini, kita perlu tunggu siasatan selesai sebelum mengambil tindakan lanjut,” kata Hasbi.