Tak mansuh subsidi serentak, kata ketua setiausaha perbendaharaan

Tak mansuh subsidi serentak, kata ketua setiausaha perbendaharaan

Johan Mahmood Merican bimbang pemansuhan semua subsidi dalam satu masa akan meningkatkan kos sara hidup, jejas perniagaan.

Kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi untuk memastikan hanya yang layak sahaja mendapat manfaatnya.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak akan memansuhkan subsidi dengan serentak, sebaliknya akan melaksanakan proses itu secara beransur-ansur, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata langkah memansuhkan semua subsidi dalam satu masa akan meningkatkan kos sara hidup dan menjejaskan pertumbuhan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

Menurutnya pada masa ini kerajaan sedang mengkaji untuk menarik balik beberapa subsidi sementara secara beransur-ansur.

“Sepertimana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini, antara yang telah dirancang adalah penarikan subsidi ayam dan telur selepas mengambil kira keadaan pembekalan yang telah stabil.

“Kerajaan juga meneruskan subsidi bersasar untuk tenaga elektrik dan selanjutnya diesel,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan pasca Belanjawan 2024 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia serta Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya di sini hari ini.

Perbincangan itu menyediakan platform kepada Kementerian Kewangan untuk menyatakan bagaimana pendekatan dalam Belanjawan 2024 dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Terdahulu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat, namun menegaskan perlu dibuat penyasaran supaya ketirisan dapat dielakkan dan memastikan hanya rakyat yang layak sahaja mendapat manfaatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.