
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) pada sesi soal jawab kepada menteri sumber manusia. Perundangan itu antaranya dicadangkan bagi melindungi mereka yang mempunyai ketidakupayaan fizikal ataupun mental.
Pada sesi sama, Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) meminta menteri pendidikan tinggi menyatakan jumlah graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari 2018 hingga 2023, serta bilangan yang sudah memperoleh pekerjaan dalam bidang latihan berkenaan.
Turut tersenarai soalan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mahu menteri pelaburan, perdagangan dan Industri menyatakan jumlah jangkaan pelaburan asing pada 2024, serta kaedah kementerian itu menyeimbangkan pelaburan yang masuk di semua negeri, bukan hanya di Lembah Klang.
Persidangan hari ini juga tertumpu pada sesi perbahasan hari pertama Belanjawan 2024, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim Jumaat lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas pada peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt.
Ahli-Ahli Parlimen kemudian akan mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat”, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion atau 19.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan tiga kementerian iaitu Kewangan, Pendidikan dan Kesihatan menjadi penerima utama.
Katanya, 77.1% daripada jumlah itu, iaitu RM303.8 bilion, disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, manakala baki RM90 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, manakala RM2 bilion simpanan luar jangka.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov.