Inisiatif TVET bantu banduan atasi rintangan sosial

Inisiatif TVET bantu banduan atasi rintangan sosial

Jabatan Penjara berkata majikan dan industri boleh membantu membuka peluang pekerjaan lebih meluas kepada para banduan dan bekas banduan.

Belanjawan 2024 memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan Program Peluang Kedua Anda (PEKA) TVET dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Inisiatif Program Peluang Kedua Anda (PEKA) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 mampu membantu banduan dan bekas banduan mengatasi rintangan sosial, selain menjadikan mereka berdaya saing apabila kembali kepada masyarakat.

Jabatan Penjara dalam kenyataan berkata peruntukan RM10 juta menerusi inisiatif itu disifatkan sebagai pengiktirafan kepada usaha berterusan jabatan itu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang telah menyelesaikan tempoh hukuman mereka.

“Melalui kerjasama yang diwujudkan ini, Jabatan Penjara berharap dapat meningkatkan kadar produktiviti banduan dengan lebih efektif.

“Majikan dan industri boleh membantu dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada para banduan dan bekas banduan,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 pada Jumaat mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan PEKA TVET, dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang mengakhiri tempoh hukuman.

Jabatan itu berkata kerjasama berterusan antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak industri akan terus dipergiat untuk memperkasakan banduan dengan kemahiran teknikal dan vokasional dalam bidang perindustrian, perladangan, dan pertanian.

Menurutnya, Jabatan Penjara sedang berusaha untuk memenuhi keperluan sebanyak 6,000 peluang pekerjaan dalam sebulan ketika ini.

“Dalam merealisasikan hasrat ini, Yayasan Koreksional Penjara akan digerakkan bagi memberi bantuan yang bersesuaian untuk memulihkan banduan secara holistik.

“Impak kepada kejayaan program ini, proses reintegrasi dan ‘resettlement’ ke dalam masyarakat dapat ditingkatkan, kadar residivis (pengulang laku jenayah) dikurangkan serta membantu mereka meningkatkan pendapatan isi rumah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.