
Shukor Ahmad berkata langkah ini diperlukan untuk melindungi kebebasan jabatan yang pernah mereka terajui, mempromosikan tadbir urus yang baik, dan memelihara prinsip keadilan.
“Perlu ada tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum bekas hakim dan pegawai kerajaan kanan menerima tawaran dalam entiti berkaitan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Shukor mengulas pelantikan bekas peguam negara Idrus Harun sebagai pengerusi Amanah Raya, sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Idrus dilantik sebagai peguam negara pada Mac 2020, dan kontraknya tamat pada 5 September.
“Pelantikan ini mengwujudkan tanggapan bahawa beliau mendapat balasan atas kesetiaannya kepada kepimpinan kerajaan pada masa itu,” katanya.
Shukor berkata kira-kira 20 tahun yang lalu, terdapat kontroversi dalam kumpulan undang-undang apabila seorang ketua hakim negara dilantik sebagai perunding dalam firma undang-undang terkemuka sebaik sahaja bersara.
“Persoalan yang diajukan pada masa itu adalah sama ada rundingan dijalankan ketika hakim itu masih berkhidmat,” katanya.
Sama seperti dalam kes Idrus, keadaan pelantikannya menjadi persoalan kerana beliau juga adalah pendakwa raya.
Shukor berkata orang ramai tidak kisah jika seorang hakim atau pegawai undang-undang kanan untuk menjawat jawatan dalam sektor swasta selepas bersara.
Katanya pada 2013, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bekas hakim Gopal Sri Ram boleh menjadi pengamal undang-undang menurut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak seorang warganegara untuk mencari nafkah.
Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali berkata perspektif yang diberikan pada Idrus dan kerajaan tidak kelihatan baik kerana beliau dilantik terlalu awal selepas kontraknya tamat.
“Orang ramai tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai tanggapan negatif terhadap pelantikan itu kerana Idrus memilih untuk berdiam diri apabila Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan hanya satu hari sebelum beliau meninggalkan pejabat,” katanya.
Zahid didakwa atas 47 tuduhan, 12 daripadanya adalah untuk pecah amanah, lapan untuk rasuah dan baki lainnya untuk pengubahan wang haram.
Rafique berkata Idrus sedang menerima dua pencen sebagai pesara peguam cara negara dan hakim Mahkamah Persekutuan.
“Beliau sepatutnya dengan penuh hormat menolak pelantikan itu kerana dia tidak menunjukkan tadbir urus yang baik dalam kes Zahid. Kehidupan beliau selepas bersara juga terjamin,” katanya.