
Mohamed Salleh Ismail berkata, keadilan akhirnya ditegakkan selepas lebih 12 tahun beliau dan keluarga berdepan fitnah, serta dihukum oleh khalayak sebelum dibuktikan di mahkamah.
“Semalam menyaksikan bahawa perundangan negara menegakkan kebenaran dan saya reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atas saya dan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
“Isteri saya, Shahrizat Abdul Jalil turut menjadi mangsa politik tohmahan dan penganiayaan ini. Bila beliau dengan rela hati meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri akibat fitnah-fitnah berkenaan pada masa itu, saya juga pasrah.”
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam ketika membenarkan saman kerajaan terhadap NFCorp dan 10 lagi defendan mendapati tidak ada fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa dana pinjaman telah digunakan dan dipindahkan secara menyeleweng.
Hakim Anand Ponnudurai juga mendapati kerajaan gagal membuktikan sebarang bentuk ketidakjujuran defendan.
Meskipun mahkamah memerintahkan 11 defendan terbabit memulangkan kepada kerajaan tanah di Gemas dan Putrajaya, serta unit kondominium di ibu negara yang dibeli menggunakan dana pinjaman itu, hakim dapati pembelian hartanah dibenarkan dan bukan pelanggaran perjanjian kemudahan pinjaman.
Hakim turut memerintahkan NFCorp membayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan, iaitu sebahagian daripada jumlah pinjaman yang tidak digunakan.
Salleh berkata keputusan mahkamah semalam “jelas dan nyata membuktikan saya dan ketiga-tiga anak saya tidak bersalah dengan tuduhan-tuduhan yang dilempar kepada kami sejak perbicaraan NFC yang bermula pada 2012, mahupun sebelumnya.”
“Terang lagi bersuluh, Hakim Anand Ponnudurai membuat keputusan berasaskan fakta sebenarnya bahawa tiada penyelewengan atau apa jua salah laku malah semua urus niaga termasuk pembelian hartanah dijalankan dengan tatakelola yang betul mengikut perjanjian pinjaman.”