Mahkamah arah NFCorp bayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan

Mahkamah arah NFCorp bayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan

Hakim juga memerintah tanah di Gemas dan Putrajaya serta unit kondominium One Menerung yang dibeli dengan dana pinjaman dipulangkan kepada kerajaan.

Mahkamah Tinggi turut memutuskan kerajaan mempunyai hak ke atas RM86.9 juta yang disita daripada NFCorp.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) membayar balik RM33.7 juta kepada kerajaan berhubung projek Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan.

Membenarkan saman kerajaan terhadap NFCorp dan 10 lagi defendan, Hakim Anand Ponnundurai mengarahkan NFCorp selaku defendan pertama membayar balik RM33,743,591.37, sebahagian daripada jumlah pinjaman yang tidak digunakan, kepada kerajaan.

“Plaintif (kerajaan) mempunyai hak ke atas RM86.9 juta yang disita daripada defendan, yang pada masa ini dipegang oleh akaun awam secara eskrow (pihak ketiga).”

Hakim juga memerintah 11 defendan terbabit memulangkan tanah di Gemas dan Putrajaya serta unit kondominium One Menerung di sini yang dibeli menggunakan dana pinjaman itu kepada kerajaan, yang merupakan pemilik benefisial hartanah berkenaan.

Bagaimanapun, hakim turut membenarkan tuntutan balas defendan serta memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 ganti rugi nominal kepada defendan.

Dalam saman itu, kerajaan selaku plaintif tunggal menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, sementara Mohamad Salleh Ismail, pengerusi eksekutif NFCorp serta tiga anaknya, iaitu Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah sebagai defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain ialah enam syarikat dikawal keluarga Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Technology Imageware (M) Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan menyatakan ia menandatangani perjanjian dengan NFCorp pada 6 Dis 2007 bagi membiayai kos membangunkan dan mengoperasikan Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas sebagai sebahagian dasarnya untuk mengembang dan meningkatkan pengeluaran daging lembu.

Pinjaman itu dibayar dalam tiga tranche dan keluarga Salleh didakwa membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

Dalam penghakimannya, Anand berkata, tiada bukti pinjaman itu disalah guna defendan.

“Saya dapati tidak ada fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa dana pinjaman telah digunakan dan dipindahkan secara menyeleweng.

Seperti dilihat sebelum ini, saya dapati pembelian hartanah dibenarkan dan bukan pelanggaran perjanjian kemudahan pinjaman.

“Saya juga dapati plaintif (kerajaan) gagal membuktikan sebarang bentuk ketidakjujuran defendan.”

Dalam penghakiman tidak membenarkan tuntutan penuh kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM253.6 juta bagi projek itu, Anand berkata, plaintif gagal membuktikan kes dakwaan konspirasi, penipuan serta pecah amanah dalam penggunaan wang pinjaman semasa pemeriksaan balas saksi defendan.

“Sehubungan itu, saya dapati hal ini sama seperti plaintif mengabaikan dakwaan konspirasi, penipuan dan pecah amanah penggunaan wang pinjaman.

“Selepas menimbang semua perkara tersebut, kesudahannya saya tidak yakin plaintif telah membuktikan konspirasi keluarga Salleh dan syarikat milik keluarga Salleh untuk menipu kerajaan.”

Prosiding dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan dan peguam K Kirubakaran bagi semua defendan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.