
Dalam keputusan sebulat suara panel Mahkamah Rayuan, Hakim S Nantha Balan berkata terdapat salah tafsiran serius terhadap keterangan yang memerlukan campur tangan perayu.
“Hakim bicara mengabaikan bukti penting, khususnya keterangan Veronica Foo di hadapan panel siasatan dalaman dan pendirian bank berhubung tuduhan salah laku serius terhadap (bekas kerani bank) Johari Mohamed,” katanya.
Foo merupakan ketua audit siasatan bank tersebut.
Bagaimanapun, panel hakim termasuk Azizah Nawawi dan P Ravinthran, hanya memberikan RM10,000 kepada pihak rayuan sebagai ganti rugi nominal.
Pihak rayuan, diwakili peguam Shafee Abdullah, juga dibenarkan kos sebanyak RM500,000.
Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa NFC, pengerusinya Salleh Ismail, dan anak syarikat-syarikat subsidi – National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd – gagal membuktikan kes mereka terhadap bank tersebut berdasarkan imbangan kemungkinan.
Salleh ialah suami bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.
Difailkan pada 2012, tuntutan tersebut mendakwa bank itu melanggar kerahsiaan dengan membenarkan butiran transaksi perbankan didedahkan bekas naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli.
Mereka mendakwa reputasi perniagaan dan kredibiliti mereka mengalami kerugian dan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki disebabkan pelbagai pelanggaran kewajiban statutori oleh bank tersebut mengikut Akta Institusi Kewangan dan Perbankan 1989 (Bafia).
Mereka juga mendakwa maklumat akaun bank yang tersebar digunakan Rafizi pada 7 Mac 2012 untuk mengukuhkan tuduhan bahawa mereka menggunakan pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.
Mereka menuntut RM560 juta sebagai ganti rugi daripada bank itu.