
Usul itu antara lapan resolusi dipersetujui pada konvensyen diadakan di Bentong hari ini.
Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, berkata gandingan Presiden SA Vigneswaran dan Timbalannya M Saravanan cukup berwibawa dalam mengemudi parti.
Beliau berkata, justeru perkara itu menjadikan akar umbi mahu mereka dikekalkan untuk perpaduan dalam MIC.
Katanya, MIC Pahang juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Vigneswaran untuk terus mengemudi dan menjayakan agenda pemerkasaan parti serta masyarakat berdasarkan pelbagai perubahan positif sejak beliau menerajui kepimpinan MIC Kebangsaan.
“Konvensyen dihadiri 250 perwakilan dari seluruh Pahang turut mencadangkan pemansuhan Artikel 58.2.A perlembagaan parti yang menetapkan seseorang hanya boleh menyandang jawatan presiden untuk tiga penggal berturut-turut.
“MIC Pahang berpendapat artikel itu tidak lagi tepat dan relevan kepada kepimpinan presiden (Vigneswaran) yang giat melaksanakan pelbagai agenda transformasi dan ia perlu berterusan tanpa sebarang cabaran atau sekatan,” katanya menurut Bernama.
Arumugam berkata, MIC Pahang mencadangkan usul memansuhkan Artikel 58.2.A itu dapat dibentangkan pada Perhimpunan Agung MIC tahun ini.
Katanya, selain itu pihaknya memohon peluang kerjaya di agensi kerajaan negeri dibuka kepada lebih ramai pemohon kaum India berkelayakan.
“MIC Pahang juga memohon supaya peserta daripada kaum India diberikan peluang menjadi peserta rancangan tanah dan pertanian pada kadar sewajarnya,” katanya.