
Pada Rabu, Bloomberg melaporkan bank pelaburan berpangkalan di New York itu menyaman kerajaan Malaysia di mahkamah timbang tara UK berikutan “perselisihan yang memuncak” berhubung perjanjian penyelesaian dibuat ketika Muhyiddin perdana menteri untuk menyelesaikan isu bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion.
Laporan itu mendakwa, saman tersebut mungkin mencetuskan tindakan kerajaan semasa, pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyahklasifikasi perjanjian itu daripada menjadi rahsia rasmi.
Langkah ini mungkin diambil berikutan”sentimen yang semakin kuat” dalam pentadbiran Anwar bahawa terma perjanjian tersebut tidak menguntungkan negara.
Ia juga mungkin “mendedahkan urusan bank itu, yang berpotensi memalukan, termasuk bagaimana ia mencapai perjanjian penyelesaian” dengan pentadbiran Muhyiddin.
Menurut laporan itu, kerajaan didorong oleh beberapa “kejayaan” yang dicapai berkait skandal 1MDB, dilihat membawa impak yang bagus bagi kedudukannya berhubung pertikaian dengan Goldman Sachs.
Katanya, bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, yang kembali ke Malaysia pada Ahad berikutan perjanjian dicapai dengan pihak berkuasa AS, berjanji untuk memberikan maklumat berkaitan 1MDB “yang tidak didedahkan sebelum ini” kepada kerajaan.
Pada Mac, Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah New York berikutan sabitan atas peranannya dalam skandal itu.
Satu lagi perkembangan dipetik oleh CNA adalah “serbuan” yang didakwa dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas firma guaman mempunyai kaitan dengan Muhyiddin.
Pada Sabtu, FMT melaporkan pegawai SPRM “mengunjungi” pejabat Rosli Dahlan Saravana sebagai sebahagian daripada siasatan yang tidak didedahkan. Bagaimanapun, tiada dokumen dirampas semasa “kunjungan” itu.
Rakan kongsi utama firma itu, Rosli Dahlan, terlibat dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian penyelesaian ditandatangani dengan Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020.
Beliau juga bertindak untuk Muhyiddin dalam beberapa perkara undang-undang, termasuk dalam kes jenayah terhadap bekas perdana menteri itu atas dakwaan pengubahan wang haram, yang sedang berjalan.
Pada Disember 2018, kerajaan ketika itu pimpinan Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia berhasrat mendapatkan ganti rugi USD7.5 bilion daripada Goldman Sachs berhubung perjanjian bon berkontroversi yang diatur oleh bank itu pada 2012 dan 2013.
Perjanjian itu bertujuan mengumpul USD6.5 bilion untuk negara tetapi sebaliknya, dana yang besar disalurkan keluar menerusi skim yang terperinci. Ia juga menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan USD3.2 bilion untuk pembayaran faedah kepada pemegang bon.
Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB Johari Ghani menyifatkan saman itu sebagai “pramatang”, tetapi berkata kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya.
Katanya, mengikut terma penyelesaian itu, Goldman Sachs dikehendaki membuat pembayaran interim sebanyak USD250 juta pada Ogos 2022 selepas gagal memulihkan aset bernilai USD500 juta dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian itu dimeterai.
Johari juga berkata, bank itu bertindak “tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap prasyarat yang diperlukan”, kerana pihak-pihak terbabit masih dalam perbincangan “ikhlas secara baik”, yang dilanjutkan hingga 8 Nov atas permintaan Goldman Sachs.