
Shaq berkata demikian selepas Jabatan Perangkaan menyiarkan laporan Jadual Hayat Ringkas yang menyatakan Bumiputera bukan Melayu berusia 0 hingga 14 tahun mempunyai kemungkinan tinggi untuk meninggal dunia.
“Komuniti Orang Asli adalah populasi kecil. Ia sangat membimbangkan apabila orang muda kami mempunyai kadar kematian yang tinggi,” katanya.
Katanya, kadar kematian yang tinggi itu berpunca daripada kurangnya akses kepada penjagaan kesihatan atau utiliti seperti air bersih dan bekalan elektrik yang stabil.
“Banyak penempatan Orang Asli ini jauh daripada pusat penjagaan kesihatan. Kurangnya jalan raya yang baik juga menyebabkan sukar pekerja kesihatan melawat kawasan ini,” kata Shaq.
Tambahnya, sumber air yang tercemar akibat pembersihan hutan berhampiran kawasan penempatan juga menyukarkan ibu atau penjaga menyediakan air minuman bersih kepada anak mereka yang sakit.
Baru-baru ini, NST melaporkan aktiviti pertanian menyebabkan pencemaran di dua sungai di Gua Musang, kedua-duanya terletak berhampiran penempatan Orang Asli.
Shaq berkata, walaupun banyak NGO membantu, ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan penyelesaian sistematik bagi menangani punca masalah itu.
“Banyak projek tanggungjawab sosial korporat, tetapi ia tidak memenuhi semua keperluan kami dan tidak akan membantu dalam jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, aktivis yang juga pakar kanak-kanak Dr Amar-Singh HSS berkata sumber perlu diperuntukan mengikut keperluan khas komuniti itu.
“Kebanyakan pembangunan perkhidmatan kesihatan kini seperti hospital adalah di kawasan bandar. Ini dipanggil ‘hukum pelayanan kesihatan songsang’ di mana mereka yang paling memerlukan adalah yang paling kurang mendapat sokongan diperlukan,” katanya.
Amar menambah penambahan dana penjagaan kesihatan diperlukan untuk memenuhi keperluan komuniti yang terpinggir.