Tertipu pelaburan tak wujud, juruaudit rugi hampir RM1.5 juta

Tertipu pelaburan tak wujud, juruaudit rugi hampir RM1.5 juta

Wanita berusia 43 tahun itu membuat laporan polis Isnin lepas.

Mangsa tertarik menyertai pelaburan kononnya berpangkalan di New York itu selepas melihat iklan di Facebook.
PETALING JAYA:
Seorang juruaudit sebuah syarikat swasta di Sungai Bakap, Pulau Pinang, mendakwa mengalami kerugian RM1.48 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan Ng Ah Thiam berkata, wanita berusia 43 tahun itu tertarik menyertai pelaburan kononnya berpangkalan di New York, Amerika Syarikat itu selepas melihat iklan di Facebook pada 2 Mei lepas.

Mangsa kemudian mengikuti pautan iklan tersebut dan seterusnya diberikan penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.

“Mangsa yang berminat menyertai pelaburan melakukan transaksi pembayaran berjumlah RM1.48 juta ke dalam beberapa akaun yang diberikan sindiket,” katanya, lapor Bernama.

“Selepas wang dimasukkan, mangsa tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan, malah dipaksa menambah pelaburan, kononnya bagi membolehkan pengeluaran wang dibuat.”

Wanita itu menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis pada Isnin lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.