MP Kuala Kangsar isytihar sokong Anwar

MP Kuala Kangsar isytihar sokong Anwar

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid membuat keputusan itu setelah meneliti rintihan pengundi diwakilinya.

Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mulai hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

“Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, saya menyokong perdana menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Iskandar Dzulkarnain berkata beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setia kepada parti.

Biarpun mungkin berdepan risiko tindakan disiplin oleh parti, Iskandar Dzulkarnain berkata beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

“Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini, sehingga Pilihan Raya Umum yang seterusnya,” katanya.

PRU15 menyaksikan Iskandar Dzulkarnian menang Parlimen Kuala Kangsar dengan mendapat 14,380 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Maslin Sham Razman yang menerima 10,814 undi dan Ahmad Termizi Ramli daripada Pakatan Harapan (10,356 undi) serta calon GTA Yusmalia Mohamad Yusof (204 undi).

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu pernah menjadi setiausaha politik menteri besar Perak sebelum ini, Ahmad Faizal Azumu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.