Mavcom arah MYAirline bayar balik tiket penumpang

Mavcom arah MYAirline bayar balik tiket penumpang

Penumpang yang membeli tiket pada 12 Okt dan selanjutnya boleh menghubungi saluran aduan khas MYAirline dan saluran khusus Mavcom untuk bantuan.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia mengarahkan MYAirline menghentikan semua jualan dan tempahan tiket di semua platform. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengarahkan MYAirline bertanggungjawab membuat bayaran balik kepada penumpang yang membeli tiket tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan susulan tindakan syarikat tambang murah itu menggantung operasinya serta-merta.

Dalam kenyataan, Mavcom berkata MYAirline juga sudah diarah untuk segera menghentikan penjualan dan tempahan tiket penerbangan di semua platform tempahan sehingga notis lanjut diberikan.

Katanya, syarikat penerbangan itu sudah diminta segera membantu pengguna terjejas dengan memaklumkan mengenai penggantungan operasi berkenaan di semua saluran komunikasi.

“Pengguna yang membeli tiket pada 12 Okt 2023 dan selanjutnya boleh menghubung saluran aduan khas MYAirline dan saluran khusus Mavcom untuk bantuan,” kata suruhanjaya itu.

Terdahulu MYAirline dalam kenyataan memaklumkan menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta disebabkan “cabaran kewangan yang signifikan”.

Sementara itu, Mavcom berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan ke atas MYAirline susulan aduan diterima berkaitan pembayaran statutori yang tidak dijelaskan kepada pekerjanya.

“Mavcom akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai operasi MYAirline dalam masa terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.