Koc khas wanita MRT: Pemantauan ditingkatkan, elak disalah guna lelaki

Koc khas wanita MRT: Pemantauan ditingkatkan, elak disalah guna lelaki

Pengendali perkhidmatan MRT, Rapid Rail Sdn Bhd berkata, pihaknya juga berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna.

Koc khas wanita terletak di bahagian tengah kereta api MRT dan boleh dinaiki dari kawasan yang ditandakan khas pada platform. (Gambar Rapid KL)
PETALING JAYA:
Rapid Rail Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan MRT, akan berusaha meningkatkan kesedaran mengenai koc khas wanita dan menggiatkan pemantauan untuk mengelak koc sedemikian disalah guna penumpang lelaki.

Ketua Jabatan Operasi Perkhidmatan MRT Laluan Kajang Sofiah Hussien mengakui ada lelaki yang menyalahgunakan kemudahan khas untuk keselamatan wanita itu sejak diperkenalkan pada 18 Sept.

Koc khas wanita diperkenalkan sebagai projek perintis di MRT laluan Kajang susulan peningkatan aduan gangguan seksual dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.

Namun penumpang lelaki tetap memasuki koc khas wanita itu, yang terletak di bahagian tengah kereta api MRT, tanpa menghiraukan warna merah jambu terang, papan tanda “koc untuk wanita sahaja”, dan kawasan khas yang ditandakan pada platform.

“Publisiti menerusi media massa dan media sosial, kempen kesedaran, pengumuman di stesen dan dalam kereta api, selain notis tambahan akan dipertingkatkan,” kata Sofiah kepada FMT.

“Pemantauan polis bantuan juga akan dipergiatkan untuk memastikan perjalanan lebih selesa, mudah dan selamat bagi semua penumpang,” katanya.

Pengguna pengangkutan awam, Nurul Rahim berkata, kehadiran polis bantuan sama ada dalam koc atau di stesen dapat membantu orang ramai lebih patuh.

Lebih banyak koc khas wanita diperlukan

Bulan lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pihak berkuasa mungkin memperkenalkan koc seumpama itu bagi perkhidmatan kereta api lain, sekiranya inisiatif percubaan di MRT laluan Kajang berjaya.

Sebilangan pengguna kereta api yang ditemui FMT memuji inisiatif itu, yang dilihat membantu memastikan wanita rasa lebih selamat dalam perjalanan, malah ada yang mendesak lebih banyak koc seperti itu diwujudkan.

Koordinator universiti S Thenmoly berkata, setiap kereta api sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya dua koc khas wanita.

Pegawai komunikasi Faiz Alavi turut menggesa lebih banyak koc seperti itu diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan dan mengelak wanita terpaksa menaiki koc biasa.

Menurutnya, penumpang juga tidak patut teragak-agak meminta lelaki yang memasuki koc khas wanita itu supaya beralih ke koc biasa.

“Khususnya pada waktu puncak, perlu ada pengawalan apabila ada lelaki memasuki koc wanita. Kita perlu lebih peka, jadi jika nampak sesuatu, bersuaralah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.