
Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata kejadian pada 11.30 malam Rabu itu berlaku semasa suspek yang tidak bekerja baru pulang ke rumah di Parit Jawa, Muar.
Beliau berkata, suspek meninggikan suara dan memarahi isterinya berusia 32 tahun supaya tidak masuk campur apabila ditanya sebab dia pulang lewat.
“Suspek kemudiannya memukul isterinya dengan menendang pada bahagian belakang badan dan menumbuk bahagian lengan kiri,” katanya menurut Sinar Harian.
Raiz berkata, mangsa membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
Bertindak atas maklumat itu, katanya, sepasukan anggota polis menahan lelaki tempatan berusia 34 tahun itu pada 2 pagi tadi kerana mendatangkan kecederaan kepada isterinya.
“Mengikut laporan dan siasatan, suspek beberapa kali memukul isterinya sebelum ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.