Batik Air, AirAsia ‘penyelamat’, tawar bantu penumpang MYAirline

Batik Air, AirAsia ‘penyelamat’, tawar bantu penumpang MYAirline

AirAsia berkata syarikat itu juga sedia menawarkan pekerjaan kepada pekerja MYAirline yang terjejas.

Batik Air dan AirAsia menawarkan tambang istimewa kepada pengguna terjejas dengan keputusan MYAirline menghentikan operasi serta-merta.
KUALA LUMPUR:
Dua syarikat penerbangan tambang murah menawarkan bantuan kepada penumpang terkandas susulan pengumuman mengejut MYAirline menggantung operasi serta-merta.

Syarikat itu menawarkan tambang khas tetap di beberapa laluan terpilih.

Batik Air menawarkan semua tambang istimewa, hingga 30 Nov ini tertakluk kepada kekosongan, katanya dalam kenyataan.

“Tujuan kami adalah membantu memudahkan penumpang tiba di lokasi. Kami mahu membantu penumpang terjejas ketika ini,” kata Pengarah Strategik Lion Air Group Chandran Rama Murthy.

Tambang istimewa untuk penerbangan sehala ke Pulau Pinang adalah RM129, RM159 ke Langkawi, RM199 ke Kuching, dan RM299 untuk ke Bangkok (Don Mueang) dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, AirAsia mengumumkan diskaun 50% untuk tiket sehala – tidak termasuk cukai lapangan terbang, yuran Mavcom dan bayaran lain – eksklusif untuk penumpang MYAirline.

“Tawaran istimewa ini layak untuk penumpang MYAirline yang sudah menempah tiket penerbangan ke atau dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau, dan Don Mueang dan Suvarnabhumi di Bangkok dari hari ini hingga 30 Nov,” katanya dalam satu lagi kenyataan.

AirAsia berkata, penumpang terjejas boleh mengemukakan tempahan tiket penerbangan MYAirline di kaunter jualan AirAsia di KL Sentral di Kuala Lumpur dan di lapangan terbang dalam destinasi dinyatakan.

CEO AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, juga berkata syarikat itu turut sedia mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan kepada petugas MYAirline dan menggalakkan pekerja terjejas berhubung dengan syarikat itu.

Terdahulu, MYAirline dalam kenyataan memaklumkan menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta disebabkan “cabaran kewangan yang signifikan”.

Tindakan itu menyebabkan penumpang terkejut dan marah apabila terkandas di lapangan terbang selepas tidak boleh menaiki penerbangan mereka dan kaunter syarikat itu juga ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.