Sekarang banyak masa untuk bantu negeri diperintah PAS, kata Dr M

Sekarang banyak masa untuk bantu negeri diperintah PAS, kata Dr M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau boleh tumpu kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Dr Mahathir Mohamad berkata tumpuannya ketika menjadi perdana menteri semestinya kepada negara secara keseluruhan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata beliau kini mempunyai banyak masa untuk bantu negeri-negeri diperintah PAS selepas tidak lagi menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata semasa mengetuai kerajaan persekutuan selama lebih 22 tahun, tumpuannya ketika itu semestinya kepada negara secara keseluruhan, dengan pembangunan tiap negeri dipertanggungjawab kepada pentadbiran masing-masing.

“Sekarang selepas tidak lagi jadi perdana menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4,” katanya di Facebook, tentang pertemuan dengan menteri besar Perlis semalam.

SG4 merujuk empat negeri diperintah PAS iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar bulan lalu mengumumkan kerjasama antara mereka dengan Mahathir memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi, berkait urusan pentadbiran dan pelabur asing.

Mahathir berkata SG4 tumpu kepada meningkatkan kegiatan ekonomi dan pelaburan melalui bidang kuasa sedia ada serta sumber dan aset negeri.

Umpamanya cuaca panas di Perlis sesuai untuk projek tenaga solar besar-besaran, katanya.

“Walaupun Perlis tidak menonjol berbanding negeri lain dan sumber pendapatannya terhad, sebenarnya negeri ini punyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau juga berkata tanah-tanah kosong yang terbiar di negeri itu sesuai untuk tanaman pokok jati yang bernilai tinggi.

“Apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.