
Pengerusi Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (Camu) Rudy Rusdy membidas pindaan yang dibuat secara tergesa-gesa itu tanpa mempedulikan keluhan pekerja terdedah kepada eksploitasi berterusan.
“Camu kesal dengan kelulusan tersebut kerana segala pandangan, kerisauan dan cadangan diberikan di dalam semua perjumpaan terdahulu tidak didengar oleh penggubal undang-undang yang sepatutnya meneliti dengan lebih mendalam.
“Segala kesan-kesan negatif dan implikasi buruk sekiranya pindaan yang mewujudkan kepelbagaian kesatuan sekerja diadakan tidak didengar langsung,” katanya dalam kenyataan.
RUU Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2023 bertujuan menghapuskan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan pertubuhan tertentu atau persamaan dalam perdagangan, pekerjaan atau industri untuk membolehkan kepelbagaian kesatuan sekerja.
Menerusi pindaan Akta 262 itu, lebih daripada satu kesatuan boleh dibentuk di satu tempat kerja.
Rudy sebelum ini berkata “kepelbagaian” kesatuan bertentangan dengan konsep perpaduan pekerja, dan ia akan memudaratkan solidariti kesatuan sekerja selain melemahkan kuasa tawar-menawar pekerja dan kesatuan.
“Mitos kononnya RUU ini akan memberikan lebih suara dan kebebasan kepada pekerja tetapi sebaliknya akan menyebabkan pekerja akan terus jadi hamba dan terus berpecah belah,” dakwanya.
Sementara itu, Gabungan Reformasi Undang-undang Buruh (LRCC) berkata pindaan akta kesatuan sekerja itu memberi makna “kebebasan sebenar” kepada persatuan.
Setiausahanya, Gopal Kishnam Nadesan mendesak segelintir pihak supaya berhenti menyebarkan maklumat salah bahawa pindaan itu akan membawa kepada keadaan huru-hara.
“Ia adalah satu penghinaan kepada wakil pekerja bahawa mereka tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan demi kepentingan pekerja.”