
Ini selepas peguam Pua dan Yeo, Syahredzan Johan, memaklumkan Mahkamah Rayuan bahawa beliau ada arahan untuk menarik balik rayuan itu.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Pua dan Yeo membayar RM350,000 sebagai ganti rugi kerana memfitnah bekas timbalan menteri Chew Mei Fun berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai lebih rendah kepada MCA.
Pendengaran rayuan dijadualkan hari ini, tetapi Syahredzan memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Supang Lian mengenai arahan anak guamnya.
“Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk menarik balik semua rayuan tanpa perintah berhubung kos,” katanya.
Peguam Rueben Mathiavaranam, yang mewakili Chew, mengesahkan perkara itu dan menambah bahawa dia mempunyai arahan bagi menarik balik rayuan balas mengenai kuantum ganti rugi tanpa perintah untuk kos.
Supang, yang bersidang bersama Hakim Hashim Hamzah dan Wong Kian Kheong, kemudian membatalkan rayuan.
Chew telah menyaman Pua dan Yeo atas dakwaan bahawa dia telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.
Dakwaan itu dibuat pada 2017 ketika Chew menjadi timbalan menteri pembangunan, keluarga dan masyarakat wanita. Ketika itu, Pua merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Yeo Adun Damansara Utama.
Kedua-duanya mendakwa Chew menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik kepentingan berhubung penjualan tanah itu.
Bagaimanapun, Chew berkata beliau tidak menganggotai jawatankuasa tanah kerana urusan tanah di luar bidang kuasanya.
Pada 29 Nov tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Abu Bakar berkata Chew yang juga bekas naib presiden MCA, telah membuktikan kesnya terhadap wakil DAP itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Pua dan Yeo masing-masing diperintahkan membayar RM200,000 dan RM150,000 kepada Chew sebagai ganti rugi.